PENGALAMAN BERJALAN KAKI DARI FEP KE KKM UKM...


PENGALAMAN BERJALAN KAKI DARI FEP KE KKM…


Post saya sebelum ini, saya telah kongsikan pengalaman menaiki bas Kiffah zon 3 untuk perjalanan saya dari kolej ke fakulti. Kali ini pula, saya akan kongsikan pengalaman saya berjalan kaki dari FEP ke KKM. Sebenarnya, saya paling suka untuk berjalan kaki dari FEP ke KKM setelah saya habis kelas. Kebiasaannya, saya akan pilih untuk berjalan kaki apabila saya tamat kelas petang. Kalau saya nak tunggu bas, ia akan mengambil masa lebih kurang 30 minit untuk menunggu bas. Selain saya dapat melihat persekitaran UKM, saya juga dapat bersenam.
      
      Jarak dari FEP ke KKM lebih kurang 2.4 km. Kalau naik bas atau kereta, ia akan mengambil masa lebih kurang 7 hingga 10 minit untuk sampai. Manakala, jika berjalan kaki pula akan mengambil masa lebih kurang 30 minit. Perjalanan dari FEP ke Kolej Rahim Kajai (KRK) tidak terlalu rasa penat kerana jalannya boleh dikatakan cantik. Cuma bermula sahaja dari depan KRK, perjalanannya menjadi agak memenatkan. Penatnya seperti mendaki bukit. Perjalanannya kelihatan jauh kerana jalannya yang lurus dan di sebelah kanan adalah hutan dan stadium di sebelah kiri.

           Dari FEP, kami akan melintasi PTSL, Perpustakaan Tun Sri Lanang. Jika mahu melihat pelajar antarabangsa, maka datanglah ke PTSL, memang ramai. PTSL dan FEP adalah bersebelahan sahaja, maka perjalanannya tidaklah memenatkan sangat. Lepas melintasi PTSL, kami akan melalui Pusanika. Pusanika ini penting. Banyak hal-hal penting yang dilakukan di sini. Terdapat kedai-kedai, pejabat, dan kutipan borang PTPTN juga akan dilakukan di Pusanika. Kemudian kami berjalan ke FSSK iaiti Fakulti Sains Sosial Kemanusiaan. Di hadapan FSSK, ada laluan pejalan kaki yang cantik. Sesuai untuk orang yang suka bergambar. Laluannya kelihatan seperti berbumbung yang dilitupi dengan bunga. Tapi, pesanan saya bila hujan janganlah berteduh disitu ye. Basah kuyup jadinya.



Tempat pejalan kaki hadapan FSSK.

            Seterusnya, kami melintasi bangunan Canselori dan menuju ke Kolej Dato Onn (KDO). Di KDO, adalah laluan yang paling saya suka, kerana di sini adalah satu-satunya laluan yang saya dapat tengok Lutong, spesies monyet yang berwarna hitam tetapi mata dan mulutnye berwarna putih. Monyetnya nampak jinak kerana kami belum pernah lagi dikejar oleh mereka. Tidak seperti monyet-monyet dan beruk-beruk yang mengganas di KKM. Kami penghuni KKM amat geram dengan 2 spesies ini, teramat jahat dan menakutkan. Selepas lalu KDO, kami akan melintasi hadapan court sukan dan menuju ke KRK.

            Selepas KRK, kami akan melintas ke seberang jalan. Jika bernasib baik, bas zon 3 akan berhenti menumpangkan kami terus ke KKM. Jika tidak, maka kami akan teruskan perjalanan hingga ke KKM.

            Di pertengahan jalan, kami akan melintasi hadapan Kolej Ibu Zain, kolej orang kaya, kolej mahal spesifikasi hotel. Namun, pondok basnya jauh dan berlatarbelakangkan hutan. Kemudian, kami akan melalui hadapan Dewan Gemilang dan kawasan pakir bas. Maka, tibalah kami di kawasan belakang KKM. Kalau lalu depan KKM, jauh. Jadi, kami menggunakan tangga di blok lelaki dan sampai ke cafeteria KKM. Tamatlah perjalanan kami.

           Perjalanan kami memang memenatkan, tetapi sangat menyeronokkan. Saya ingin berpesan supaya apabila berjalan kaki biarlah berteman, terutamanya bagi yang perempuan. Demi keselamatan masing-masing. Baiklah, ini saja perkongsian saya kali ini.
Terima kasih.

Comments