TIPS MENYUSUN JADUAL KULIAH UKM…


TIPS MENYUSUN JADUAL KULIAH UKM…

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Kali ini saya nak kongsikan cara susun jadual kuliah bagi pelajar ijazah sarjana muda di UKM. Perkongsian saya ini adalah berdasarkan pengalaman saya sendiri. Memandangkan saya juga masih di semester 1 tahun 1. jadi perkongsian saya ini masih boleh ditambah baik lagi.
                Di UKM, anda akan mendengar bermacam-macam perkataan yang anda tidak biasa dengar seperti CITRA, kursus wajib fakulti dan banyak lagi. Walaupun orentasi adalah seminggu, masih tidak cukup menjelaskan apa yang perlu anda lakukan untuk mendaftar kuliah nanti. Dan kemudian, mulalah semua pelajar tahun 1 di semester 1 kelam kabut berebut mendaftar kuliah. Kurangnya pengalaman dan pengetahuan membuatkan anda tersalah daftar hingga menyusahkan diri sendiri. Bayangkan anda yang masih baru ini perlu berebut mendapatkan tempat dengan senior-senior lain. Pada mulanya, kami sampai tak tidur demi menunggu laman mendaftar kuliah dibuka. Di UKM, kami akan mendaftar kuliah di atas talian iaitu di laman SMPweb-UKM.

1.Dapatkan maklumat dan buat carian.
Semasa orentasi di fakulti, saya diberikan satu kertas cadangan daftar kuliah. Di situ ada tertulis senarai kuliah yang dicadangkan untuk kita daftar mengikut semester dan tahun. Maka, sebaik-baiknya kita ikut cadangan tersebut. Memang kalau kita google tentang perkara ni, boleh dikatakan tak ada yang membantu. Jadi, kita bolehlah tanya dengan pensyarah. Kalau tak pun kita tanya dengan senior yang satu kursus dengan kita.
Untuk pelajar baru, fokuskan sahaja untuk pendaftaran semester pertama dahulu, jangan serabutkan kepala. Apa yang penting, pastikan anda mendapat senarai cadangan daftar kuliah di fakulti masing-masing.

2.Peka dengan tarikh daftar-gugur.
Setiap pelajar akan diberitahu tentang tarikh-tarikh penting untuk pendaftaran subjek atau kuliah ni. Pastikan anda peka dan mengambil tahu setiap perkembangan mengenai pendaftaran ini nanti supaya tiada maklumat penting yang tertinggal. Biasanya, pelajar akan diberikan masa selama seminggu untuk proses daftar-gugur. Pada minggu tersebut, anda boleh mula mendaftar dan menggugur semula kuliah mengikut kursus masing-masing. Pada waktu inilah anda sepatutnya buat pilihan yang sebaik mungkin untuk kemudahan sendiri.
Kemudian, selepas minggu daftar-gugur, anda tidak boleh lagi membuat pendaftaran secara online. Bermula pula minggu gugur dimana minggu ini hanya dibenarkan untuk anda menggugurkan subjek atau kuliah yang anda rasa perlu digugurkan.

3.pastikan rangkaian internet dalam keadaan yang baik.
Untuk minggu daftar-gugur, pendaftaran dibuat secara atas talian iaitu di SMPweb-UKM. Untuk hari pertama, laman SMPweb-UKM akan jadi terlalu sesak kerana waktu itulah semua pelajar UKM membuat pendaftaran. Jadi internet yang baik boleh membantu memudahkan urusan pendaftaran. Anda boleh membuat pendaftaran dengan menggunakan komputer dan juga telefon pintar.

4.Daftar subjek yang penting dahulu.
Berdasarkan senarai cadangan yang diberikan fakulti, terdapat banyak jenis taraf subjek yang perlu anda daftar. Contohnya subjek wajib fakulti dan citra. Semasa mendaftar, anda akan diberikan limit unit untuk mendaftar. Setiap kursus mempunyai limit jam kredit yang berbeza. Contohnya untuk pelajar BBA bagi semester 1 tahun 1 maksimum 23 jam kredit, manakala bagi pelajar ekonomi maksimum 25-26 jam kredit. Anda tidak  boleh mendaftar lebih daripada had yang ditetapkan.
 Anda digalakkan untuk mendaftar subjek wajib fakulti terlebih dahulu sebelum mendaftar citra supaya had jam kredit mencukupi. Anda perlu ingat ye, setiap pelajar perlu memenuhi jumlah jam kredit yang ditetapkan sepanjang belajar di UKM untuk graduasi, jika tidak anda terpaksa tambah semester. Kesannya, kawan dah bergraduasi, kita masih belajar. Untuk pelajar BBA sem 1 tahun 1, biasanya subjek wajib fakulti 5, dan 3 subjek citra. Ini semua mengikut unit jam kredit bagi subjek masing-masing.

5.Pilih waktu kelas yang bersesuaian.
Semasa daftar nanti, pilihlah waktu kuliah yang memudahkan anda. Waktu kuliah tidak tentu, dari pagi, tengahhari,petang, malam pun ada juga kelas. Dari isnin ke ahad. Jadi pilihlah kelas mengikut waktu keselesaan anda. Biasanya pelajar akan pilih kelas antara waktu pagi hingga petang, isnin hingga jumaat. Supaya hari sabtu dan ahad mereka boleh cuti. Anda boleh juga susun jadual dari hari isnin ke khamis ikut cara anda susun waktu jadual. Biasanya satu kelas mewakili 2-3 jam. Maknanya satu hari anda boleh susun maksimum 3-4 kelas kalau mampu bawa.
Kalau boleh elakkan kelas waktu malam supaya anda boleh rehat dan bersedia untuk hari esok. Kemudian, pastikan jarak masa antara kelas itu bersesuaian. Contohnya, 8pagi-11pagi kelas statistik, 12tghhari-2petang kelas prinsip akaun. Pastikan ada jarak masa yang bersesuaian sekurang-kurangnya ia mencukupi untuk anda bergerak dari satu kelas ke kelas yang lain. Buatnya kelas dibuat di fakulti berbeza, anda akan terlewat masuk kelas.

6.subjek citra.
Masa saya mula-mula masuk ke UKM, boleh dikatakan 90% pelajar baru tak tahu apa itu citra. Jadi saya nak kongsikan pandangan sendiri mengenai citra. Setiap kursus perlu memenuhi keperluan minimum jam kredit citra. Contohnya untuk BBA, minimum 30jam kredit untuk sepanjang 3 tahun. Citra ni merupakan subjek yang di luar kursus kita. Ia membolehkan kita belajar mengenai sesuatu perkara yang lain daripada kursus yang kita ambil. Contohnya, pelajar BBA  di fakulti ekonomi pengurusan mengambil subjek citra komunikasi lisan dalam berbahasa melayu yang berada di FSSK. Semasa mendaftar, anda perlu tekan di butang citra.
Citra ada 6 bahagian, anda perlu pilih setiap citra untuk sepanjang tempoh belajar mengikut keperluan. Setiap subjek ada kod mereka tersendiri, jadi untuk citra pastikan anda memilih citra mengikut kod yang bersesuaian. Pastikan nombor pertama kod tersebut adalah nombor 1 kerana ia merupakan penanda untuk subjek yang digalakkan bagi pelajar tahun 1. Kod yang bermula dengan nombor 2 untuk pelajar tahun 2, kod nombor 3 untuk pelajar tahun 3. Ini kerana setiap tugasan dalam subjek tersebut akan dibuat berdasarkan kemampuan pelajar.
7.Jangan panik.
Apa pun pesan saya, semasa mendaftar dan menggugur nanti buatlah keputusan dengan baik supaya dapat memudahkan anda nanti. Jangan kelam kabut atau tamak nak daftar semua. Pilih kelas yang anda mampu bawa terutamanya kelas citra.
Jangan sampai citra menyusahkan dan menjejaskan pelajaran anda. Seterusnya, sekiranya semua kelas yang anda inginkan dah penuh, jangan takut, jangan risau. Anda boleh dapatkan surat daftar manual. Anda hanya perlu pergi ke kelasnya dan minta tanda tangan pensyarah kelas tersebut.

Kesimpulannya, pastikan anda membuat pilihan yang sesuai. Jangan panic dan stress ketika membuat pendaftaran. Cuma jangan ditangguh-tangguhkan. Cari kawan atau senior untuk minta pandangan dan pendapat. Jangan dilupa juga para pensyarah. Ada diantara mereka yang sentiasa sudi untuk membantu. Jadi setakat ini sajalah coretan saya untuk kali ini.
Terima kasih.

Comments

  1. assalamualaikum kak, saya nak tnya jadual kuliah mmg kita susun sendiri ke sbb saya ada tngok jadual kuliah dekat laman web ukm yang jadual kuliah hanya ada hujung minggu. mcm mana ya? saya tak berapa nak faham sistem jadual ukm ni.boleh terangkan?

    ReplyDelete

Post a Comment