PERJALANAN DARI KOLEJ KE FAKULTI GUNA BAS KIFFAH...

PERJALANAN DARI KOLEJ KE FAKULTI GUNA BAS KIFFAH...

Saya merupakan seorang pelajar tahun 1 bagi sesi 2019/2020. Masih baru, masih mentah. Oleh itu, perkongsian saya ini juga adalah berdasarkan pengalaman saya yang masih sedikit di universiti.  Untuk kali ini Saya akan kongsikan macam mana saya bergerak dari kolej kediaman ke fakulti dan dari fakulti ke kolej kediaman semula.

Untuk pengetahuan awak semua, saya merupakan pelajar baru di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Baru sahaja melafazkan ikrar sebagai mahasiswa UKM di Dewan Canselor Tun Abdul Razak yang lebih dikenali sebagai DECTAR. Namun, untuk perkongsian kali ini saya tidak mahu bercerita mengenai lafaz ikrar dan sebagainya, saya akan kongsikannya di hari yang lain. Sebaliknya, saya akan berkongsi bagaimana saya bergerak dari kolej ke fakulti dan dari fakulti ke kolej semula dengan menggunakan bas.

Saya sebagai pelajar baru di tahun 1, memang diwajibkan untuk tinggal di dalam kolej di UKM. Tiada alasan untuk tidak tinggal di kolej, melainkan awak ada alasan yang munasabah dan perlu mengikut prosedur yang tertentu. Maka, mahu atau tidak, saya perlu menggunakan bas untuk bergerak.

Baiklah, tanpa membuang masa lagi saya mahu teruskan bercerita. Saya tinggal di Kolej Keris Mas  (KKM) UKM Bangi. Kolej ini merupakan salah sebuah kolej yang terbesar di kampus UKM Bangi. Lokasinya pula boleh dikatakan di bahagian hujung UKM. 

Fakulti saya pula ialah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP). Fakulti ini adalah berhadapan dengan Kolej Aminudin Baki (KAB), di antara Fakulti Sains dan Teknologi (FST) dengan Perpustakaan Tun Sri Lanang (PTSL).

Jarak di antara kolej kediaman saya dengan fakulti boleh dikatakan agak jauh. Adalah lebih berbaloi jika bergerak dengan menaiki bas. Jangan risau, jangan khuatir, bas telah disediakan untuk sebarang pergerakan sama ada di dalam UKM mahu pun untuk keluar UKM. Pelajar yang menaiki bas tidak akan dikenakan sebarang cas. Tambang bas telah termasuk di dalam yuran. Awak gunalah perkhidmatan bas tersebut sepanjang awak belajar di UKM ini.

Bas yang digunakan adalah bas yang bernama Bas Kiffah. Terdapat beberapa zon yang digunakan oleh pelajar UKM  dan ia bergerak mengikut laluan yang berbeza. Saya dan pelajar lain dari KKM akan menggunakan Bas Kiffah Zon 3. Bas zon ini akan bermula dari KKM dan berakhir juga di KKM. Biasanya, bas akan mula bergerak pada pukul 7.30 pagi dan berakhir pada pukul 11 malam. Jadi, pada yang ada kelas pukul 8 pagi, perlulah menggunakan bas pada ukul 7.30 pagi kerana untuk tunggu bas yang seterusnya akan mengambil masa lebih kurang selama 30minit.  Jika saya ada kelas pagi iaitu pada pukul 8 pagi, saya memang akan menunggu bas pada pukul 7.30 pagi. Bas tidak akan menunggu kita ye. Pesanan saya, JANGAN TERSALAH ZON!!!

Selepas habis kuliah, adakalanya saya akan memilih untuk menaiki bas atau berjalan kaki dari FEP ke KKM. Jika saya memilih untuk menaiki bas, saya akan menunggu di pondok bas depan fakulti saya. Pastikan Bas yang dinaiki ialah bas Zon 3, kalau tidak anda tidak akan sampai semula ke KKM. Perjalanan itu akan mengambil masa yang agak lama kerana bas tidak akan terus bergerak ke KKM, sebaliknya akan berhenti di setiap fakulti-fakulti yang lain. 

Pernah saya memilih untuk menunggu bas di pondok bas belakang Pusanika kerana mahu terus sampai ke KKM. Hampir 1 jam menunggu, namun tiada satu pun kelibat bas zon 3. Rupanya pada hari Rabu, bas zon 3 tidak akan melalui laluan belakang Pusanika. Memang penat, Memang sakit hati. Tapi apakan daya, bersabar sajalah. Jadi, di sini awak semua perlu peka dengan laluan-laluan bas, bila bas akan berhenti rehat dan sebagainya. Sebarang kemusykilan, bolehlah bertanya dengan yang lebih pakar macam senior-senior awak nanti.

Bagi saya, penggunaan Bas Kiffah ini amat digalakkanlah memandangkan kita sudah pun bayar. Basnya selesa, bersih dan inshaAllah awak akan sampai ke destinasi yang ditujui sekiranya awak semua menaiki bas zon yang betul. Sememangnya penggunaan bas ini amat memudahkan dan menjimatkan masa. Namun, sekiranya awak mahukan cabaran dan keseronokan, awak semua boleh memilih untuk berjalan kaki dari FEP ke KKM. Tapi, jika awak dari fakulti FST dan keatas, digalakan untuk menaiki baslah, sebab memang jauh.

Saya rasa cukup saja untuk perkongsian kali ini, agak panjang tapi sebenarnya saya mahu bercerita mengenai banyak hal lagi tapi di lain hari. 

Sekian, Terima Kasih...



  




Comments