HAKIKAT SEBENAR MASUK UNIVERSITI....
Pada beberapa minggu yang lepas, ramai pelajar yang terpilih telah datang mendaftar sebagai mahasiswa di universiti-universiti di seluruh Malaysia. Ada yang dari utara turun ke selatan. Ada juga yang dari selatan merentas negara datang mendaftar di universiti di kawasan utara. Tidak dilupa juga pada yang terbang ke Sabah dan Sarawak. Aku percaya mereka semua merasai pelbagai perasaan yang bercampur-baur. Gembira, semangat, terharu, takut dan bermacam-macam lagi perasaan datang mengganggu fikiran dan hati. Perasaannya memang sukar untuk digambarkan. Aku tahu bagaimana rasanya, kerana aku juga pernah melaluinya.
Aku merupakan pelajar baru iaitu pelajar semester 1, tahun 1. Jadi, sedikit sebanyak aku akan kongsikan apa yang aku rasa dan lalui setelah aku mendaftar masuk ke salah sebuah universiti awam di Malayisa.
Sejak kecil lagi aku didedahkan dengan keseronokan dan mitos-mitos BAHAGIA sebagai mahasiswa universiti. Betapa indahnya belajar di peringkat universiti. Aku yakin kita semua telah diberikan dorongan dan semangat untuk belajar hingga ke peringkat menara gading. Semangat hendak memasuki universiti membuak-buak. Maka dengan itu, aku memasang niat untuk menyambung pelajaran hingga ke universiti.
Apabila aku mendapat tawaran universiti, akulah orang yang paling bahagia, paling seronok, hingga menitis juga air mataku. Betapa seronoknya dapat peluang sambung belajar di universiti. Pada waktu itu, aku memang menantikan tarikh daftar masuk. "Mesti aku akan berseronok nanti..." itulah yang aku fikirkan. Namun, HAKIKATNYA.....
Minggu pertama di universiti akan menjadi minggu pengenalan kepada dunia baru, alam baru yang akan aku tempuhi sebagai mahasiswa universiti. Di mana mulanya langkah sebagai seorang insan yang berdikari, yang hidup sendiri tanpa bantuan dan perhatian sepenuhnya daripada ibu bapa seperti yang selalu aku terima. Minggu pertama ini, aku akan terlibat dengan orientasi universiti. Minggu paling sibuk yang perlu aku lalui. Minggu yang penuh dengan pelbagai program. Keluar pagi, malam belum tentu selesai. Tiada masa yang cukup untuk berehat kerana masa menjadi singkat.
Di universiti, aku akan bersendirian kerana masih baru, kawan pun tiada lagi. Semua bergerak sendiri. Tiada lagi orang yang akan membantu menunjukkan jalan. Ia merupakan dunia baru yang amat besar buatku, sukar untukku memulakan langkah kerana aku bukanlah seorang yang berani secara zahirnya. Namun, aku perlu melawannya kerana kehidupan sebagai seorang mahasiswa ini bukanlah mudah. Banyak yang perlu aku pelajari sekiranya aku mahu bertahan sehingga aku berjaya menggenggam segulung ijazah nanti.
Setelah selesai minggu pengenalan, maka secara rasminya bermulalah perjalananku di universiti. Perasaanku masih bercampur-baur kerana aku masih belum membiasakan diri di tempat baru, berjauhan dengan keluarga. Sebelum ini, pembelajaranku boleh dikatakan mudah kerana guru sekolah sentiasa ada untuk mendidik dengan penuh perhatian. Namun, bukanlah di universiti. Di sini, orang yang bertanggungjawab mencurahkan ilmu itu tidaklah sama seperti guru-guru sekolah yang pernah mendidikku sebelum ini. Orangnya bukanlah seperti orang yang kebiasaan aku temui. Bukanlah calang-calang orangnya, kerana tanggungjawab sebagai seorang pensyarah universiti amatlah besar. Orangnya tidaklah dipanggil 'cikgu' lagi, sebaliknya kebanyakan daripada mereka bergelar Dr., Prof. dan banyak lagi. Ini merupakan perkara baru yang perlu aku biasakan.
Di kuliah, aku perlu sentiasa bersedia kerana tiada sesiapa akan menungguku. Ilmu yang akan aku pelajari dalam kuliah tersebut bukanlah mudah untuk aku terima dengan sebaiknya walaupun ianya mengenai ilmu yang pernah aku kuasai sebelum ini. Persekitaran dan suasana yang baru membuatkan aku terleka dan janggal di dalam kuliah. Tugasan demi tugasan yang diberikan membuatkanku lelah.
Aku bukan sahaja perlu menyiapkan diriku di fakulti, malahan di kolej juga aku perlu memberikan komitmen yang sepenuhnya sekiranya aku ingin mendapatkan tempat pada tahun yang akan datang. Jika aku gagal, maka aku perlu bersiap sedia untuk tinggal di rumah sewa yang sudah tentu harganya lebih mahal dari kolej. Oleh itu, aku perlu libatkan diri dengan program-program yang disediakan oleh kolej dan juga pihak universiti.
Aku menjadi teramat sibuk sehinggakan makan dan minumku tidak teratur, tidur dan rehatku tidak menentu. Aku menjadi terlalu penat dan lelah. Ditambah pula perasaan rindu akan keluarga yang tiada hentinya. Hari demi hari aku bertahan, aku menghitung hari menunggu cuti untuk pulang bertemu dengan keluargaku. Adakalanya aku akan mempersoalkan diriku, adakah benar pilihanku ini? Adakah benar ini jalanku? Mampukah aku bertahan?
Namun, jika difikirkan semula, mengenang akan pengobananku, keluargaku, dan orang lain, aku perlu bersyukur dan berusaha untuk melawan perasaanku ini. Aku tidak boleh membuatkan semua pengorbanan ini menjadi sia-sia. Iya, memang hidup di universiti ini sukar, namun jalan ini telah ditakdirkan untukku, perlu aku terima dengan sepenuhnya, perlu aku pikul dengan sebaiknya demi kebaikanku dan memenuhi harapan keluarga. Tidak semua diberikan peluang seperti yang aku terima ini. Aku perlu bersyukur dan aku perlu kuat.
Aku percaya ramai lagi yang melalui saat-saat seperti ini. Hakikatnya ramai yang tidak mampu bertahan hingga ke penamatnya. Ada yang terhenti di pertengahan jalan akan kerana tidak mampu lagi untuk bertahan. Aku sentiasa berdoa semoga perjalananku dan sahabat-sahabatku yang lain berjaya hingga ke penamatnya, berjaya mendapatkan segulung ijazah.
Apa yang aku ingin sampaikan di sini ialah setiap yang berlaku ada hikmahnya. Setiap kelebihan datangnya dengan tanggungjawab. Jadi kita yang dapat peluang untuk sambung belajar ini, gunakanlah dengan sebaik-baiknya. Kesihatan dan keselamatan diri perlu sentiasa diutamakan. Hubungan dengan keluarga jangan dilupakan. Berkawan biarlah berpada, musuh janganlah dicari. Tetapkan hati, teguhkan iman. Semoga dipermudahkan urusan.
Kepada yang tidak berjaya mendapatkan peluang ini, jangan kecewa atau menyesal. Setiap manusia mempunyai perjalanan hidup yang berbeza-beza. Kejayaan juga datang dalam perlbagai cara. Hentikan persepsi atau anggapan bahawa hanya mereka yang menjadi graduan universiti sahaja yang akan berjaya dalam kehidupan. Usaha dan doa yang akan menentukan dimana kita akan berada. Semoga kita semua berjaya mendapatkan kejayaan dunia dan akhirat.
Sekian sahaja perkongsian aku untuk kali ini...
Terima Kasih.
Comments
Post a Comment